Sama ada pada waktu panas terik atau tidak, minuman sejuk atau berais
memang menjadi pilihan masyarakat negara ini tidak kira usia.
Biarpun menyedari minuman sejuk tidak begitu elok untuk kesihatan, masih ramai yang memandang remeh mengenai amalan itu kerana belum merasai kesannya.
Sejak akhir-akhir ini, ramai yang menerima e-mel daripada rakan atau
individu yang menyarankan amalan itu dihentikan kerana ia mungkin boleh
menyebabkan banyak penyakit berbahaya.
Bunyinya memang menakutkan
kerana minuman sejuk dikatakan punca kegemukan selain turut dikatakan
boleh menyebabkan serangan penyakit jantung.
Bagaimanapun, Pakar
Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Haizal Haron Kamar,
menjelaskan tiada sebarang kajian yang membuktikan amalan minum minuman
sejuk boleh membekukan makanan berminyak, memperlahankan penghadaman
sekali gus menyebabkan lemak berkumpul dan menyempitkan salur darah lalu
menyebabkan serangan jantung.
Kata Dr Haizal, pembentukan plak di
dinding pembuluh darah koronari melalui proses aterosklesoris antara
lain disebabkan oleh kandungan darah kolesterol yang berlebihan.
Jelasnya, sebahagian daripada kolesterol berkenaan datang daripada lemak pemakanan yang dihadam dan diserap oleh usus.
“Bagaimana kita boleh mengaitkan minuman sejuk dengan penyakit jantung
kerana secara logiknya, minum air sejuk boleh memperlahankan penghadaman
yang secara langsung mengurangkan lemak dan kandungan kolesterol dalam
darah.
“Memang sehingga kini tiada kajian atau sebarang bukti untuk menyokong pendapat berkenaan,” katanya.
Menurut Dr Haizal, pesakit jantung atau yang pernah menjalani
pembedahan jantung juga tidak mempunyai masalah jika mengambil minuman
sejuk.
“Apa yang penting di sini bukan minuman itu sejuk atau tidak.
“Setiap individu yang berpenyakit atau tidak, perlu minum air kosong sekurang-kurangnya lima gelas sehari.
“Terdapat satu kajian di Amerika Syarikat membabitkan lebih 20,000
orang mendapati mereka yang minum air kosong untuk jumlah sedemikian
setiap hari mempunyai risiko mati akibat penyakit jantung yang lebih
rendah berbanding mereka yang minum dua gelas atau kurang sehari.
“Jenis minuman selain daripada air kosong pula boleh meninggikan risiko terbabit,” katanya.
Daripada sudut kecantikan pula, minuman sejuk atau berais harus dijauhi
wanita kerana ia dapat menjejaskan kesihatan kulit dan dalaman.
Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib, berkata wanita tidak kira yang
sudah berkahwin atau belum, perlu mengelakkan minuman sejuk atau berais
jika mahu menjaga kecantikan kulit wajah, dalaman dan luaran mereka.
Kata Halimah, walau bagaimana haus sekali pun, minuman sejuk perlu
dijauhkan sebaliknya perlu mengambil air suam meskipun pada waktu tengah
hari.
“Jika kita mengamalkan minuman berais, badan mudah menjadi kembang dan selain itu, tulang juga mudah berasa sakit dan bisa.
“Masalah berkenaan mungkin kurang dirasai ketika muda remaja dan hanya
mula dirasai apabila menginjak usia 40 tahun ke atas,” katanya.
Bagi
wanita yang sudah berkahwin pula, Halimah turut menasihatkan supaya
jangan sesekali mengamalkan minuman sejuk kerana ia menjejaskan
kesihatan dalaman serta menyejukkan peranakan.
Halimah berkata, penyakit hari ini senang singgah pada badan, tetapi ia amat susah untuk pergi iaitu disembuhkan.
Justeru, amalan pemakanan sihat dengan membanyakkan minum air kosong
atau air suam amat penting kerana ia dapat meneutralkan kembali makanan
yang diambil.
Jelas Halimah, berdasarkan pengalamannya, individu
yang selalu minum air batu atau sering berada dalam pejabat atau rumah
yang menggunakan penyaman udara, kulit mereka biasanya kelihatan kering
dan tidak bermaya.
Amalan minum minuman sejuk atau berais juga dikatakan boleh menyebabkan perut mudah buncit.
Katanya, orang tua sering berpesan supaya jangan makan berselang dengan
minum kerana ia juga akan menyebabkan perut menjadi buncit.
“Amalan menghirup sup ketika makan nasi juga tidak digalakkan kerana sup juga seperti air, boleh menyebabkan perut membuncit.
“Jika minum air, pastikan anda duduk dan jangan sesekali minum berdiri
kerana air itu akan terus mengalir ke bahagian peranakan dan
menyejukkannya.
“Memang wanita banyak pantang larang terutama dalam
aspek pemakanan dan ia tidak boleh dipandang remeh kerana kesannya boleh
dirasai selepas melepasi usia 40 tahun. Justeru, paling elok untuk
diamalkan ialah air suam atau air kosong saja selain banyakkan makan
sayuran,” katanya.
Selain itu, minuman sejuk juga tidak elok diberi
kepada kanak-kanak kerana ia menyebabkan mereka mudah mengalami batuk,
bibir kering atau pecah dan mudah diserang demam.
“Ibu bapa perlu memantau amalan berkenaan kerana kanak-kanak memang menggemari minuman sejuk.
“Jika kita sayangkan mereka, berilah air kosong kerana ia sememangnya lebih baik untuk kesihatan mereka,” katanya.
Rahsia ais dan air sejuk
■ Air sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia (sukar tidur) agar dapat kembali tidur seperti biasa.
■ Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk
memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan
secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.
■ Liputan ais di Antartika (daerah Kutub Selatan) dan Artik (daerah Kutub Utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.
■ Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah
rahsia keseimbangan tekanan semula jadi alam yang mengawal graviti dan
pergerakan bumi pada paksinya.
■ Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.
■ Ais amat diperlukan mana-mana atlet dalam kecederaan yang tidak disangka-sangka,
■ Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan
yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi bayi yang mempunyai
potensi menghidapi penyakit sawan.
■ Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.
■ Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan
tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih
cepat.
■ Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan
dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama
terjadinya lumpuh.
■ Makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada
suhu yang tinggi atau yang terkena panas cahaya matahari yang pasti akan
mengganggu sistem deria pada kulit.
■ Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai unsur spiritual yang jahat.
■ Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan.
■ Air sejuk juga dipercayai dapat menguatkan tulang bayi.
■ Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan pelbagai penyakit alahan dan jangkitan.
■ Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekul kristal yang paling keras iaitu intan.
■ Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem
penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh
dan menyeluruh.
■ Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh
mengembalikan semangat yang sudah hilang bagi mereka yang pengsan, gila
dan koma untuk kembali sedar.
■ Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan dengan asid urik akan meningkatkan suhu tulang.
■ Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.
■ Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.
■ Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin
merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan
keikhlasan.
■ Air kelapa muda bersifat sejuk dan amat baik untuk
kesihatan kerana ia berkesan untuk meneutralkan kesan keracunan dan
keasidan yang berlebihan di dalam aliran darah. Tubuh secara semula jadi
bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.
■
Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut.
Menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan
unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk pada awal pagi kerana ia
akan menguatkan perut.
No comments:
Post a Comment